120 PELAJAR HADIRI PROGRAM HARI BAKSIS UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 120 PELAJAR HADIRI PROGRAM HARI BAKSIS UPMKB

120 PELAJAR HADIRI PROGRAM HARI BAKSIS UPMKB

BINTULU: Seramai 120 pelajar dan guru pengiring dari enam sekolah menengah di sekitar Bintulu telah menghadiri Program ‘STEM-azing With Us’ sempena Hari BAKSIS di Dewan Kuliah Pusat Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada 12 November lepas.

Program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan daripada komuniti pendidikan dan sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, SMK Kidurong, SMK Bandar Bintulu, SMK Baru Bintulu, SMK Assyakirin dan SMK Kemena.

Fasilitator program Mohammad Saufi Mohammad Ramli berkata, program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang julung kalinya diadakan di UPMKB itu merupakan kesinambungan idea siswa-siswi yang mengikuti Kursus Bakti Siswa di bawah Kursus Kokurikulum Berkredit Pelajar QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2) Sesi Akademik 2022/2023.

Katanya, ia menekankan kaedah pembelajaran secara bersemuka kepada para pelajar sekolah menengah.

“Program serampang dua mata ini untuk mendedahkan pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu yang mampu menarik minat terhadap bidang sains selain memantapkan unsur unsur kemahiran insaniah dalam diri yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman seperti ini hanya boleh diperoleh melalui program sebegini dan bukan di dalam kelas sekali gus untuk melatih mahasiswa sentiasa membantu masyarakat sekeliling dengan ilmu pengetahuan yang ada.

Ujarnya, perkongsian pengalaman dan pengetahuan ini secara tidak langsung akan memberikan kesedaran kepada masyarakat luar dalam meningkatkan tahap pendidikan mereka dan keluarga.

Selain itu katanya, program ini bertujuan mengubah persepsi, cara kehidupan dan minda pelajar terhadap bidang STEM dalam setiap aspek kehidupan seharian.

Jelasnya, ia selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menerajui hala tuju STEM susulan minat pelajar dalam bidang tersebut dilihat kurang memberangsangkan mutakhir ini.

Pada masa sama Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Samri Suhaili berkata, program ini adalah bertepatan dengan perancangan Kementerian Pendidikan dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, usaha, sokongan dan bantuan tenaga kerja daripada pihak universiti sangat membantu dalam usaha meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM.

Pengarah programnya, Muhd Adam Hafizi Tahah menyifatkan pendekatan berkumpulan seperti itu mampu membuka minda pelajar untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan kawan baharu.

“Mereka juga dapat berkongsi pengalaman yang dilalui di sekolah masing masing serta mampu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa dan mahasiswi termasuk menggalakkan penglibatan komuniti setempat untuk semua peringkat umur,” katanya.

Melalui program ini katanya, pelajar perlu menjalani aktiviti secara berkumpulan yang terdiri dari pelbagai sekolah dengan akktiviti yang dirangka khas melibatkan lima set modul iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Katanya, dengan pemantauan oleh fasilitator bagi setiap kumpulan, setiap pelajar berusaha bersaing antara kumpulan bagi merebut hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

 

Tarikh Input: 16/12/2022 | Kemaskini: 16/12/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdRAT~