UPM DILANTIK JALANKAN KAJIAN TINGKATKAN HASIL PENGELUARAN PADI SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » UPM DILANTIK JALANKAN KAJIAN TINGKATKAN HASIL PENGELUARAN PADI SARAWAK

UPM DILANTIK JALANKAN KAJIAN TINGKATKAN HASIL PENGELUARAN PADI SARAWAK

PERTUKARAN MoU di antara kerajaan Sarawak dan UPM bagi penyelidikan berkaitan usaha meningkatkan pengeluaran padi Kuching hari ini.

 

KUCHING: Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik bagi menjalankan penyelidikan berkaitan usaha meningkatkan pengeluaran padi di negeri Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi usaha tersebut dengan mensasarkan pengeluaran tiga kali ganda menjelang 2024.

“Kita mempunyai beras yang berkualiti iaitu beras Bario, oleh itu kita mahu menjenamakannya untuk pasaran domestik dan juga antarabangsa. Sekarang ini kita sangat bergantung dengan beras dari Thailand, jika sesuatu terjadi di sana yang melibatkan pengeluaran beras, bekalan beras kita akan terjejas.

“Jadi penyelidikan ini sangat penting dan Sarawak kini dalam proses untuk meningkatkan pengeluaran komoditi ini dengan menggunakan teknologi moden,” katanya pada majlis Perasmian Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda di hotel Pullman di sini hari ini.

Ujar Abang Johari lagi, sekiranya penyelidikan tersebut berhasil tempat yang sama akan dilaksanakan untuk penanaman tumbuhan lain.

Selain itu, Abang Johari turut mengenal pasti tiga kelemahan sektor pertanian di Sarawak termasuk penggunaan teknologi moden mesra alam dalam sektor pertanian, pengurusan tanah dan tanaman dan juga penghasilan biji benih serta pengurusan tapak semaian.

“Jika kita dapat mengatasi ketiga-tiga masalah ini, Sarawak boleh menjadi salah satu pemain utama untuk mengatasi masalah keselamatan makanan dalam wilayah ini.

“Saya berharap bengkel ini akan menjadi platform untuk menghasilkan pendekatan baharu kepada industri makanan kita,” tegasnya.

Beliau pada masa yang sama optimis Sarawak mempunyai banyak individu berbakat yang boleh dilatih menghasilkan makanan berkualiti tinggi untuk populasi lebih tiga bilion yang dapat dieksport melalui penerbangan yang hanya memakan masa enam jam.

Bengkel tersebut menjadi platform kepada peserta-peserta yang terdiri daripada petani untuk mempelajari dan melaksanakan penggunaan teknologi moden dari Belanda ke dalam pertanian mereka.

Kredit kepada : UTUSAN

Tarikh Input: 19/01/2023 | Kemaskini: 19/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXESMAM~