PROGRAM KURSUS PENTERNAKAN KAMBING ANJURAN PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PROGRAM KURSUS PENTERNAKAN KAMBING ANJURAN PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB

PROGRAM KURSUS PENTERNAKAN KAMBING ANJURAN PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB

Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan Kursus Penternakan Kambing pada 25 Jun 2022 (Sabtu). Kursus tersebut telah dijalankan di Dewan Kuliah Pusat 2B UPMKB (Teori) dan Unit Ternakan Kambing, Ladang Kongsi, Pusat Pertanian Putra, UPMKB (Praktikal) bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Seramai 51 orang peserta dari pelbagai daerah di Sarawak (Bintulu, Miri, Sibu, Serian, Kuching, Betong, Bintangor, Sarikei, Matu, Mukah, Bakelalan) bahkan dari Semenanjung Malaysia (Selangor, Johor, Perak, dan Kedah) telah menyertai kursus ini.
 
Dr. Zaidi Suif, Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB ketika dihubungi menerangkan penganjuran kursus tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta kursus berkenaan dengan teori berkaitan penternakan, pembiakan, pemakanan dan pengurusan kesihatan ternakan kambing.
 
Pendedahan secara praktikal pula adalah mengenai sistem perumahan kambing, pembiakan kambing iaitu penjantan dan betina terpilih, ujian libido serta pengekangan kambing, pemotongan kuku dan rawatan kembung perut. Amali praktikal ini telah dikendalikan oleh beliau sendiri dan Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna yang berpengalaman dalam bidang tersebut dengan dibantu oleh Encik Yngwie Cheng serta Encik Nazri Ali. Kursus ini turut disampaikan oleh Encik Kiai Lang (Penolong Pegawai Veterinar Bahagian Bintulu) sebagai panel jemputan khas bagi slot Pengenalan dan Peranan Perkhidmatan Veterinar Bahagian kepada penternak.
 
Timbalan Pengarah PPP UPMKB, Prof. Madya Dr. Amy Halimah binti Rajaee turut menambah bahawa program tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan berharap sesi pemindahan ilmu tersebut dapat melahirkan lebih ramai usahawan ternakan dalam negara.
 
Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan salah satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program University4Society melalui Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian dan pengembangan pertanian bersama masyarakat umum.
 
Pusat Pertanian Putra UPMKB berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Noor Irawati Ahamd, Cik Renee Sherna, Cik Josephine Jawai Makos (urusetia), En. Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
 
Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran kursus seperti ini.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 04/07/2022 | Kemaskini: 04/07/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETGAZ~