Selain itu, perbezaan budaya masyarakat Jepun dan Malaysia turut menarik perhatian para pelajar dari Kolej Pendeta Za’aba dan Kolej Seri Rajang berkenaan membuatkan mereka teruja dengan pengalaman baharu dilalui. Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, Profesor Madya Dr. Arifin Abdu berkata, para pelajar terbabit dapat melihat sendiri bagaimana budaya sapaan dan ucapan terima kasih menjadi satu kemestian dalam kehidupan seharian masyarakat Jepun. “Antara perkara menarik lain adalah sistem kitar semula, pengasingan sampah yang dipraktikkan di dalam rumah sehinggalah di semua tempat yang dilawati. Sumber air di setiap rumah juga sangat bersih dan boleh diminum terus tanpa perlu dimasak,” katanya di sini.

Lawatan selama dua minggu itu turut membawa mereka mengikuti bengkel dan program antaranya Pendidikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kelas bahasa Jepun, robotik, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan lawatan ke kilang-kilang terkenal seperti Sinmoji Waste Management Center, Kitakyushu Eco Town Center, Shabondama Soap, Co. Ltd, dan Yasikawa Electric Corporation Nakama.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor Dr. Mohd. Roslan Sulaiman percaya para pelajar terbabit dapat mempelajari nilai-nilai etika masyarakat Jepun yang tinggi antaranya sangat menekankan disiplin dari segi ketepatan masa.

Ini terbukti dengan jadual pengangkutan awam mereka sangat tepat di mana kurang 10 saat dari jadual asal. Di samping itu, masyarakat mereka sering dilihat mengutip sampah yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana kebersihan menjadi keutamaan hidup masyarakat Jepun. Bandar besar seperti Fukuoka termasuk yang terpencil seperti Kitakyushu sentiasa nampak bersih dan sukar untuk dilihat sampah sarap di mana-mana. Mereka juga amat menjaga kelestarian alam semula jadi dan membentuk perasaan cinta terhadap alam sekitar sejak di bangku sekolah. Masyarakat Jepun juga diasuh supaya menyayangi negara mereka dan menerapkan semangat patriotik ini berkekalan sehingga mereka meningkat dewasa. - UTUSAN ONLINE