Pastikan Mereka Tidak Diabai, Termasuk Pertimbang Pengurangan Cukai Pendapatan | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Pastikan mereka tidak diabai, termasuk pertimbang pengurangan cukai pendapatan

Pastikan mereka tidak diabai, termasuk pertimbang pengurangan cukai pendapatan

BINTULU: Kerajaan perlu memastikan golongan M40 iaitu mereka yang berpendapatan sederhana tidak diabaikan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan termasuk mempertimbang pengurangan cukai pendapatan bagi kumpulan itu.

Pegawai kanan sebuah universiti di sini Roslan Ismail berkata, golongan M40 sering tercicir dan seperti ‘dianaktirikan’ dalam memperoleh manfaat dalam beberapa perkara sekali gus kita berharap agar pembentangan bajet kali ini kerajaan dapat memberikan sesuatu untuk golongan M40.

Katanya, kadangkala inisiatif untuk M40 juga tidak menyeluruh sedangkan kita turut membayar cukai pendapatan setiap bulan bahkan dengan lebihan pendapatan boleh digunakan untuk membantu kita membeli barangan harian serta membantu dalam kitaran ekonomi.

“Jika boleh M40 juga perlu diberi atau menerima subsidi bersasar walaupun dalam jumlah yang kecil,” ujarnya semasa dihubungi di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan diharap tidak meminggirkan M40 kerana mereka juga menjalani hidup yang sama dengan B40 yang perlu menghadapi kos sara hidup tinggi dan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh pihak bank.

Ujarnya, golongan seperti M40 merupakan kumpulan yang turut terkesan dengan keadaan semasa kerana bantuan ‘one-off’ bukan semua M40 layak menerimanya.

“Tekanan kenaikan harga barangan sememangnya memberikan cabaran besar terhadap rakyat Malaysia untuk memastikan kewangan mereka sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan hidup,” katanya.

Tambahnya, dengan mengambil kira trend peningkatan harga barang tersebut yang dijangka berterusan sehingga tahun depan, rakyat Malaysia tentunya menantikan dengan penuh harapan terhadap insentif dan bantuan kepada semua golongan dalam Bajet 2023.

“Kita berharap dapat menerima peruntukan yang lebih tinggi dalam Bajet 2023 bagi membantu pelaksanaan langkah mengawal kenaikan harga barang,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan bantuan juga perlu untuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya mereka dapat membeli barang keperluan pada harga lebih murah melalui Bajet 2023 ini.

Jika boleh M40 juga perlu diberi atau menerima subsidi bersasar walaupun ” dalam jumlah yang kecil.

 

Tarikh Input: 27/09/2022 | Kemaskini: 27/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdHAq~