KELESTARIAN ALAM SEKITAR TANPA RACUN KIMIA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » KELESTARIAN ALAM SEKITAR TANPA RACUN KIMIA

KELESTARIAN ALAM SEKITAR TANPA RACUN KIMIA

PERTANIAN mampan atau pertanian lestari kerap dibincangkan di media massa negara dengan pelbagai kebaikan untuk jangka masa panjang. Ini merangkumi konsep kelestarian alam sekitar melalui kaedah pertanian mesra alam dengan memberi penekanan kepada penggunaan sumber asli secara kitar semula.

Melalui kaedah ini, penggunaan bahan kimia seperti baja dan racun dapat dikurangkan dan penghasilan produk pertanian dijamin lebih selamat. Penjimatan kos bahan input juga dapat dicapai dalam jangka masa panjang apabila adaptasi sepenuhnya kepada pertanian lestari. Penggunaan bahan kimia berlebihan atau secara haram memberi kesan kepada ekosistem dan manusia. Kesan ketara ialah mutasi genetik atau kehilangan seranggaserangga tertentu.

Manakala semburan bahan ini berdekatan kawasan perumahan akan mencemarkan udara persekitaran, dan memberi kesan sampingan kepada manusia seperti mutasi genetik, keracunan, kecacatan kekal, dan sebagainya. Tanah juga akan turut tercemar dengan kandungan sisa bahan kimia yang tinggi dan menjadi toksik kepada pertumbuhan tanaman. Jika kawasan tersebut terletak berhampiran aliran air, potensi sisa kimia mencemarkan sungai atau sumber air terdekat adalah tinggi.

Melalui kaedah pertanian lestari, kawalan perosak boleh menggunakan racun organik yang lebih mesra alam dan disedia menggunakan bahan-bahan asas di rumah. Salah satu kaedah pengawalan serangga kecil seperti trip (order Thysanoptera) boleh dilakukan dengan penyemburan bancuhan pati halia kepada pokok terlibat. Kaedah seperti ini mudah diaplikasikan oleh komuniti pertanian bandar untuk tanaman seperti cili, padi, dan sebagainya.

Penghasilan racun organik seperti ini adalah mudah dengan mengisar halia hingga halus dengan air agar penghasilkan pati yang memberikan bauan dan rasa pedas dapat mengurangkan hisapan sap oleh larva trip. Selain kaedah pati halia, penggunaan pati cili dan bawang putih juga boleh digunakan sebagai alternatif mengawal pelbagai serangga. Namun penggunaan racun organik haruslah bergantung kepada kadar serangan serta faktor persekitaran.

Sebagai contoh, amalan semburan racun organik selalunya dilakukan setiap satu atau dua minggu sekali namun sekiranya pokok terdedah kepada aliran hujan, ulangan semburan haruslah dilakukan untuk meningkatkan keberkesanannya. Selain penggunaan racun dibuat individu dengan yakin (Do It Yourself – DIY), kaedah kawalan secara biologi juga boleh digunakan. Kaedah seperti ini sebahagian daripada pengurusan perosak bersepadu (Integrated Pest Management – IPM) iaitu mengenal pasti perosak dan perumah untuk proses pengawalan. Ini merangkumi kaedah fizikal dan biologi dan kadangkala melibatkan kedua-duanya.

Amalan yang boleh digunakan dalam kawalan fizikal seperti penggunaan jaring untuk menangkap ramarama, proses pembuangan kepompong secara manual menggunakan tangan, dan sebagainya. Kaedah seperti ini mudah dilakukan dengan pengetahuan asas mengenai bentuk dan rupa sesuatu perosak dan kadangkala memerlukan pemahaman kitar hidupan serangga atau perosak tersebut.

Manakala secara biologi adalah penggunaan pemangsa dalam kalangan perosak untuk mengawal populasinya. Contoh paling mudah seperti helang mengawal populasi tikus di sawah padi. Selain itu, penggunaan agen seperti kulat untuk mengawal kulat lain juga boleh diketengahkan. Ini termasuk penggunaan Trichoderma spp. yang tergolong dalam kategori kulat sebagai alternatif kepada kawalan penyakit reput pangkal batang (Ganoderma spp.) pokok kelapa sawit.

Kedua-dua kaedah seperti ini menjamin kelestarian alam sekitar apabila melibatkan penggunaan sumber-sumber alam secara maksimum tanpa perlu memberi penekanan kepada racun kimia. Penggunaan tinja haiwan ternakan sebagai bahanbahan yang boleh dikitar semula untuk diberikan kepada tanaman dapat memberi manfaat dalam bentuk pemberian nutrien yang dibebaskan apabila terurai secara semula jadi. Kaedah ini meliputi pemberian tinja ayam, arnab, dan sebagainya secara tabur terus ke permukaan tanah dan proses pelepasan nutrien secara perlahan-lahan untuk diserap oleh tumbuhan.

Di samping itu, penggunaan tinja-tinja haiwan dapat membaiki struktur tanah dan meningkatkan kadar kation boleh tukar (Cation Exchange Capacity – CEC) untuk membantu tumbesaran tanaman. Tinja haiwan juga boleh diberikan dalam bentuk pelet yang telah diproses oleh syarikat-syarikat pembuatan baja untuk memudahkan proses pemberian kepada tanaman di samping mengurangkan bau dan pemberian tinja haiwan mentah secara berlebihan.

Kebiasaannya, tinja haiwan yang telah ditukarkan dalam bentuk pelet mengandungi nilai tambah lain seperti asid amino dan asid humik untuk meningkatkan penyerapan nutrien secara efektif serta menggalakkan pertumbuhan tumbuhan lebih optimum. Kadangkala, bahan-bahan buangan seperti sisa serbuk kopi, teh, dan sebagainya boleh digunakan sebagai alternatif baja kepada tumbuhan.

Selain tinja haiwan, baja secara semula jadi melalui campuran-campuran bahan lain seperti kaedah amino asid ikan (Fish Amino Acid – FAA) atau fermentasi jus buah-buahan (Fermented Fruit Juice – FFJ) juga boleh digunakan untuk membantu pertumbuhan tanaman. Semasa proses fermentasi, mikroorganisme menguraikan bahan-bahan tersebut dan meningkatkan kandungan nutrien seperti kalium (K), kalsium (Ca), magnesium (Mg), dan sebagainya untuk diserap oleh tumbuhan.

Perbezaan kepekatan kandungan nutrien adalah berdasarkan medium yang digunakan sebagai contoh penyediaan fermentasi jus tomato mempunyai kandungan Ca lebih tinggi berbanding fermentasi jus pisang. Kaedah-kaedah seperti ini terbukti berkesan untuk meningkatkan pengeluaran hasil petani-petani kecil iaitu keluasan tanah di antara 1 hingga 2 hektar sehingga enam kali ganda serta mengurangkan kos pengeluaran sehingga 30 peratus.

Namun, tumbesaran tanaman adalah tidak seragam berbanding penggunaan baja kimia tetapi mampu mengurangkan kos penggunaan baja yang lebih berkesan. Kebiasaannya, teknik pembajaan dan kawalan penyakit serta perosak lebih sinonim dengan panggilan teknologi pertanian semula jadi (Natural Farming – NF) yang kian mendapat sambutan terutama daripada generasi muda yang cenderung mempamerkan penggunaan secara dalam talian menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, dan sebagainya.

Menurut laporan-laporan penyelidikan semasa, amalan pertanian lestari ini mampu memberi kesan kepada sektor pertanian dalam inisiatif memelihara alam sekitar dan menjamin keselamatan hasil pertanian. Ia juga giat diusahakan oleh petani-petani yang memilih untuk mendapatkan pensijilan melalui Skim Organik Malaysia (SOM) atau penjenamaan semula kepada Skim Pensijilan Organik Malaysia (myORGANIC) melalui Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang-ladang berkaitan. Mengikut portal Jabatan Pertanian sehingga Jun 2021, sejumlah 95 petani telah berjaya memperolehi myORGANIC di Malaysia dan hanya 3.16 peratus daripadanya merupakan petani dari Sarawak (Serian dan Sibu).

Pengiktirafan ini merupakan salah satu inisiatif petanipetani tersebut dalam menjayakan pertanian lestari di Malaysia. - (Artikel ini ditulis oleh pelajar PhD Izzah Abd Hamid dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, Dr Wan Asrina Wan Yahaya. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel ke izzahabdhamid@gmail.com dan asrina@upm.edu.my)

 

 

Tarikh Input: 23/06/2022 | Kemaskini: 23/06/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUTA2~