KUALA LUMPUR 13 Sept. - Lawatan 20 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melawat Kitakyushu, Fukuoka, Jepun, baru-baru ini bukan sahaja sejajar dengan Dasar Pandang ke Timur diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 1982, malah dapat mempelajari dan melihat sendiri bagaimana bandar itu yang dahulu pernah dicemari sisa kimia kini berubah menjadi Eco-Model City.
Pada 1960, kepesatan teknologi menyebabkan udara dan air di semua kawasan industri di bandar itu terutama Dokai Bay dan Tobata dicemari oleh sisa kimia dari kilang-kilang
Walau bagaimanapun, melalui teknologi dan etika masyarakat Jepun, mereka berjaya merealisasikan matlamat Program Pendidikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sehingga sekarang yang mengubah status Bandar Besi (Steel Town) tersebut kepada Eco-Model City.
Kitakyushu dinobatkan menjadi sebuah Pusat Bandar Eko pada 2001 dan sekarang maju setapak ke hadapan lagi untuk dibangunkan sebagai Taman Tenaga Generasi Akan Datang iaitu menyediakan biojisim dan sumber semula jadi sebagai tenaga untuk penduduk negara matahari terbit itu pada masa depan.
Pengetua Kolej Pendeta Za’aba UPM, Profesor Madya Dr. Arifin Abdu berkata, lawatan itu merupakan sebahagian program penghantaran pelajar yang dimeterai UPM dan Institut Teknologi Kyushu pada 2012 yang mana setiap tahun sebanyak 120 pelajar terlibat.
“Pada kali ini, seramai 20 pelajar dari Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Sri Rajang diiringi Pegawai Perantara Perhubungan, Rosidah Basir berpeluang mengikuti Program Mobiliti Dasar Pandang Ke Timur ke Kyutech, Fukuoka,” katanya di sini, hari ini.
Pelajar turut berpeluang melawat Wind Power Generation iaitu sebuah pusat utama penjanaan sumber tenaga semula jadi yang hasil pengeluarannya dijual kepada syarikat-syarikat pembekal tenaga elektrik di Jepun.
Ketika melawat Pusat Pengurusan Sisa Sinmoji di Pulau Kyushu, mereka didedahkan kepentingan pemuliharaan alam semula jadi di samping mempelajari teknologi menguruskan sisa buangan menjadi produk kitar semula.
Melalui teknologi kitar semula itu, Jepun menghasilkan medal sukan Olimpik 2020 yang setiap satu bersalut satu gram emas kitar semula.
Selain itu, pelajar juga berpeluang melawat Kilang Shabondama Soap, Co. Ltd. di Wakamatsu-ku dan berpeluang melihat sabun dihasilkan menggunakan bahan organik serta sumber air asli tanpa sebarang bahan kimia.
Pendekatan kaedah penggunaan bahan semula jadi berkenaan merupakan antara penyumbang utama ke arah mencapai 17 matlamat SDG di Jepun.
Pelajar juga berkesempatan melawat syarikat pembuatan robot terkemuka, Yaskawa Electric Corporation yang mana mereka sangat teruja dan berpendapat teknologi robot akan membantu dalam mendukung matlamat SDG untuk generasi masa hadapan. - UTUSAN ONLINE