Fungsi Baja Untuk Tanaman Yang Lebih Sihat | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Fungsi baja untuk tanaman yang lebih sihat

Fungsi baja untuk tanaman yang lebih sihat

BAJA adalah bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan yang dibekalkan secara langsung kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Setiap bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan dan dibekalkan kepada tanah contohnya nitrogen, fosforus dan kalium adalah dikelaskan sebagai baja tumbuhan.

Manakala, bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung untuk memperbaiki struktur dan tekstur tanah, meningkatkan daya kelembapan tanah dan daya pegangan air tanah serta mengawal keasidan tanah adalah dianggap sebagai bahan pembetulan tanah (soil amendment), pelembap tanah (soil conditioner) dan bahan tambahan tanah (soil additives).

Kesemua bahan ini adalah penting dalam mempertingkatkan kesuburan tanah bagi menampung keperluan pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal penanaman sehingga kepada peringkat penuaian hasil.

Terdapat 18 unsur pemakanan tumbuhan yang diperlukan oleh tanaman mengikut peringkat pertumbuhan, cara pengambilan unsur pemakanan tersebut dan jenis tanaman.

Unsur yang paling utama dan paling penting dalam pertumbuhan hampir kesemua jenis tanaman ialah nitrogen, fosforus dan kalium (N,P,K).

Nitrogen sangat penting bagi pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal percambahan sehingga peringkat pembentukan daun. Fosforus penting bagi pembentukan akar dan dahan, manakala kalium penting dalam pembentukan bunga dan buah.

 Baja kimia adalah baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik. — Gambar hiasan

CAMPURAN: Baja kimia adalah baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik. — Gambar hiasan

Kekurangan tiga unsur utama ini akan menampakkan simptom secara umumnya pada daun (kurang nitrogen), pertumbuhan terbantut (kurang fosforus) dan tidak membentuk bunga (kurang kalium).

Walau bagaimanapun, terdapat juga unsur sekunder yang tidak kurang pentingnya dalam pertumbuhan tanaman iaitu kalsium, magnesium, sulfur dan sodium yang diperlukan tanaman untuk pertumbuhan yang subur.

Selain daripada unsur utama dan unsur sekunder, unsur surih seperti boron, zink, ferum, mangan, klorin, molybdenum, kobalt dan tembaga (copper) diperlukan oleh tanaman tetapi dalam jumlah yang sedikit. Maksudnya, ada atau tidak ada unsur surih ini dalam pembajaan tidak begitu signifikan dari segi pertumbuhan.

Jika kepekatan unsur surih tinggi dalam tanah, ini akan menyebabkan toksik (keracunan) terutama bagi tanaman yang baharu disemai. Unsur seperti oksigen, karbon dan hidrogen yang tanaman perlukan adalah didapati daripada atmosfera iaitu dalam bentuk karbon dioksida dan air.

Namun begitu, unsur karbon dan hidrogen terdapat dalam baja urea disebabkan oleh penghasilan baja urea melalui proses ‘Haber’. Baja urea dihasilkan daripada gabungan gas nitrogen daripada atmosfera dengan hidrogen daripada gas asli contohnya seperti metana seterusnya membentuk gas ammonia.

Baja boleh dikelaskan mengikut empat kumpulan yang berbeza dari segi kandungan nutriennya iaitu baja kimia (bukan organik), baja organik, baja galian (mineral) dan baja organik sintetik. Cara pelepasan nutrien dalam setiap jenis baja ini adalah berbeza mengikut kandungan nutrien baja tersebut.

BAJA KIMIA

Baja kimia adalah baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik contohnya campuran bahan yang mengandungi asid sulfurik dan gas ammonia dalam pembuatan baja ammonium sulfat.

Melalui tindak balas kimia, bahan tersebut berubah kandungan dari segi atom dan molekul lalu membentuk bahan baharu iaitu ammonium sulfat. Baja kimia ini mengandungi dua unsur iaitu nitrogen dan sulfur.

Kandungan unsur pemakanan tumbuhan adalah tinggi dalam baja kimia. Pelepasan unsur pemakanan tumbuhan daripada baja kimia adalah cepat berbanding baja organik dan baja mineral disebabkan sifat yang mudah larut dan mudah meresap ke dalam tanah.

Oleh sebab itu, baja kimia digunakan pada peringkat pertumbuhan yang tertentu, contohnya sepuluh ke 20 hari selepas penanaman, peringkat pembungaan dan pembentukan buah bagi memastikan nutrien daripada baja kimia digunakan sepenuhnya oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan tersebut.

BAJA ORGANIK

Baja organik adalah baja yang dihasilkan menggunakan bahan asli tanpa campuran bahan kimia. Cara penghasilan baja organik adalah daripada pereputan sisa pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa haiwan.

Penguraian bahan asli daripada sisa tanaman dan haiwan mengambil masa lebih kurang dalam julat tiga bulan sehingga lapan bulan mengikut tinggi atau rendahnya kandungan bahan yang mudah atau lambat terurai.

Hasil akhir daripada proses penguraian ini dikenali sebagai kompos, iaitu baja organik yang terkenal dalam meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman.

Kandungan bahan humus (organik) dalam kompos adalah tinggi dan kandungan nutriennya bergantung kepada campuran sisa yang digunakan, contohnya jika campuran menggunakan daun kekacang dan sisa haiwan, kandungan nitrogen adalah tinggi.

Manakala, jika abu daripada pembakaran pelepah sawit digunakan dalam campuran pembuatan kompos, maka kandungan kalium adalah tinggi.

Pelepasan bahan

humus daripada kompos adalah perlahan dan biasanya dibekalkan kepada tanaman pada musim awal penanaman supaya boleh diambil oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan.

BAJA GALIAN / MINERAL

Baja galian adalah baja yang dihasilkan melalui pemecahan batuan yang mengandungi nutrien contohnya batu kapur yang mengandungi kalsium serta magnesium dan batuan fosfat yang mengandungi fosforus.

Proses penghasilan galian ini adalah disebabkan oleh tindakan luluhawa fizikal dan luluhawa kimia terhadap batuan yang merubah bentuk dan kandungannya.

Selain daripada itu, perlombongan batuan dilakukan bagi mendapatkan galian dalam bentuk serpihan yang lebih kecil atau serbuk galian yang sedia untuk digunakan.

Kebanyakan baja galian mempunyai nutrien tumbuhan yang rendah dan cara pelepasan unsur pemakanan ke dalam tanah adalah lambat disebabkan batuan ini lambat larut dan memerlukan jumlah air secukupnya bagi proses pelarutan dalam tanah.

Contoh baja galian ialah ‘China Rock Phosphate’ (CRP), ‘Christmas Island Rock Phosphate’ (CIRP), dan ‘Egyptian Rock Phosphate’ (EGP). Batuan fosfat ini dinamakan mengikut tempat perlombongan batuan fosfat tersebut.

BAJA ORGANIK SINTETIK

Akhir sekali ialah baja organik sintetik, iaitu baja yang dihasilkan daripada gabungan gas dan sebatian organik yang disintesis secara bukan semula jadi. Proses penghasilan baja organik sintetik menggabungkan gas ammonia, hidrogen dan karbon dioksida.

Sumber kepada gas ammonia ialah pengikatan gas nitrogen (N2) oleh proses Haber atau pembentukan ‘cyanamide’ (sebatian hablur asid lengai terhasil daripada pembebasan ammonia), manakala sumber kepada gas karbon dioksida ialah gas yang terbebas daripada perindustrian dan perkilangan.

Baja urea merupakan satu-satunya penemuan yang unggul dalam pembuatan baja organik sintetik. Dalam proses penghasilan baja urea, gas hidrogen yang terhasil melalui tindak balas air dan gas membentuk gas karbon dioksida dalam jumlah yang banyak.

Namun begitu, gas yang terhasil daripada air, berfungsi dalam menyeimbangkan campuran nitrogen dan hidrogen yang mengandungi kepekatan gas karbon dioksida yang tinggi (70 – 80%).

Proses penghasilan baja urea ini ialah tindak balas berbalik dan memerlukan suhu yang tinggi (400 – 500° C). Penemuan dalam kaedah penghasilan baja urea ini menyebabkan penggunaan baja urea secara meluas bukan sahaja disebabkan cara pelepasan unsur pemakanan yang cepat tetapi juga disebabkan oleh kandungan nitrogen yang tinggi iaitu 46%.

Kesimpulannya, pengetahuan mengenai jenis kandungan unsur pemakanan dalam setiap baja dan juga fungsi unsur tersebut kepada pembentukan dan pertumbuhan tanaman adalah penting bagi menentukan faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan baja.

Selain daripada itu, cara pelepasan setiap nutrien daripada baja mempengaruhi keberkesanan cara penggunaan baja.

Tarikh Input: 02/10/2018 | Kemaskini: 02/10/2018 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdCAG~