5 TIP KEKALKAN SEMANGAT KETIKA BEKERJA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » 5 TIP KEKALKAN SEMANGAT KETIKA BEKERJA

5 TIP KEKALKAN SEMANGAT KETIKA BEKERJA

5 TIP KEKALKAN SEMANGAT KETIKA BEKERJA

“Asyik aku yang kena buat kerja lebih. Padahal gaji sama macam orang lain yang buat kerja sedikit. Bos memang tak adil, mentang-mentang aku tahu buat semua ni, terus aku yang kena buat semua!”. Sering kedengaran rungutan-rungutan kecil sang pekerja yang telah berkhidmat walau di mana-mana sektor pekerjaan tentang isu ketua yang tidak adil, lambakan tugasan serta perlu menanggung kerja orang lain.

Rungutan-rungutan seperti ini jika terus dibiarkan bertakung di dada, lama kelamaan sudah tentu akan memberikan kesan terhadap prestasi serta motivasi seseorang pekerja. Natijahnya, pekerja yang kurang bermotivasi ini akan menjadi kurang produktif dan akhirnya akan mengganggu proses kerja serta memberikan tekanan kepada rakan sepejabat yang perlu memikul beban tugas pekerja tersebut.

Rantaian ini boleh membentuk suatu “barah” dalam kesejahteraan emosi sesebuah pejabat kerana boleh mengakibatkan wujudnya budaya kerja yang kurang sihat seperti mengadu domba, syak wasangka serta berkira dalam menjalankan kerja yang diamanahkan.

Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Pekerja yang disambut pada setiap tahun, setiap pekerja yang telah bertungkus lumus menjalankan amanah yang diberikan hendaklah dihargai agar motivasi dalam diri mereka akan terus meningkat dan terus produktif dalam sektor pekerjaan masing-masing.

Untuk pekerja yang mahu kekal bermotivasi dalam melakukan pekerjaan, beberapa tip mudah akan saya kongsikan bersama anda dan boleh diamalkan untuk diri masing-masing.

Tip 1: Bersukan

Bila sebut sahaja mengenai bersukan atau melakukan senaman, pasti ramai yang akan membayangkan anda perlu berlari atau memiliki peralatan profesional. Sebenarnya, banyak aktiviti sukan yang boleh anda lakukan mengikut minat dan kebolehan anda sendiri dan mungkin tidak memerlukan alatan sukan profesional. Sebagai contohnya, anda boleh meluangkan masa setiap pagi sekitar 10 minit untuk melakukan senaman regangan. Tahukah anda, hanya dengan meluangkan masa sekitar 10 minit setiap pagi melakukan senaman regangan mampu memberikan tenaga dan meringankan ketegangan otot. Bukan itu sahaja, otak anda juga akan berasa lebih cergas apabila menjadikan amalan ini sebagai satu kebiasaan yang anda amalkan setiap hari. Perkara ini juga boleh membantu anda mempunyai mood yang lebih baik dan mampu menurunkan kadar stres dalam diri.

Tip 2: Pemakanan Seimbang

Tip yang kedua adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Ramai yang tidak tahu, bahawa pemakanan juga salah satu faktor yang boleh mempengaruhi mood atau emosi seseorang individu tersebut. Ada kajian menyatakan bahawa, makanan yang tinggi nilai indeks glisemiknya boleh mencetuskan simptom kemurungan dan juga keletihan. Antara contoh makanan yang mempunyai nilai glisemik tinggi seperti kek, roti putih, minuman soda dan biskut. Oleh kerana itu, kita digalakkan untuk mengambil jenis makanan yang rendah nilai indeks glisemiknya seperti sayuran dan buah-buahan. Perkara ini boleh membantu kita untuk mengawal emosi dan seterusnya kekal bermotivasi dalam kehidupan seharian.

Tip 3: Menjaga hubungan dengan rakan sekerja

Hubungan dengan rakan sekerja tidak harus diabaikan kerana selain daripada menjaga emosi diri sendiri, rakan sekerja juga memberikan impak terhadap mood yang baik untuk bekerja. Sekiranya hubungan dengan rakan sekerja dijaga dengan baik, ia sekali gus akan mencorakkan budaya yang baik dalam aktiviti seharian pekerja. Salah satu cara yang mudah yang boleh dilakukan untuk menjaga hubungan yang baik adalah dengan bergurau senda dengan rakan sekerja. Bergurau senda dengan melakukan humor merupakan elemen magis yang membantu untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Jadi, tonjolkannya secara semula jadi jika anda memiliki sifat tersebut. Namun, haruslah beringat bahawa usahlah keterlaluan di dalam bergurau senda sehingga menyentuh sensitiviti orang lain.

Tip 4: Self-Reward pada diri

Tip yang keempat adalah dengan memberikan penghargaan kepada diri sendiri setelah berjaya menyelesaikan tugasan. Ini kerana kita tidak dapat memaksa orang sekeliling khasnya majikan kita untuk melihat setiap usaha kita ketika melaksanakan sesuatu tugasan tersebut. Ironinya apabila mendapat penghargaan (tidak kira daripada diri sendiri mahupun orang lain) semangat kita akan melonjak naik untuk meneruskan tugasan yang lain pula. Antara contoh penghargaan kendiri yang anda boleh lakukan adalah seperti, menepuk bahu sendiri, senyum dan berkata “saya hebat, tahniah!” ataupun membeli makanan kegemaran, menonton wayang kegemaran dan sebagainya. Penghargaan ini akan meningkatkan estim kendiri anda juga. Cubalah!

Tip 5: Memberikan pujian pada diri

Memuji diri sendiri sering dikaitkan dengan pepatah melayu “masuk bakul angkat sendiri”. Namun, sebenarnya, pujian yang positif pada diri sendiri mampu meningkatkan semangat dan motivasi daripada dalam diri. Sebagai contoh, ketika anda bersendirian, bagitahulah pada diri “Aku telah melakukan yang terbaik, Aku tahu dan sedar bahawa aku ikhlas dalam melakukan pekerjaan ini. Bos percayakan aku hebat, sebab itulah aku menggalas tugas ini”, “Allah sayangkan aku, Allah nak aku belajar menjadi lebih hebat, lebih mahir dalam bidang kerja aku. Oleh itu, orang tidak akan dapat menipu atau memanipulasikan aku suatu hari nanti”.  Pujian atau dialog-dialog positif boleh dilakukan pada setiap hari pada diri agar tangki emosi diri sentiasa disuntik dengan ayat-ayat positif yang mampu meningkatkan keyakinan dan estim kendiri.

Tips-tips mudah ini boleh anda amalkan untuk memulakan hari anda agar kekal bersemangat untuk melakukan pekerjaan anda. Jika anda tidak bersemangat untuk melakukan pekerjaan, anda akan kelihatan lesu dan tidak bermaya sepanjang hari. Bukan itu sahaja, segala pekerjaan anda juga akan tertangguh kerana anda tidak mempunyai motivasi untuk melakukannya. Jika pekerjaan anda tertangguh, maka rakan sekerja juga akan mulai tidak menyukai cara anda bekerja. Oleh itu, lakukan perkara yang anda minati untuk menaikkan semangat anda agar terus kekal bermotivasi melakukan pekerjaan. Paling penting, DISIPLIN! Segala tip yang dikongsikan tidak akan tercapai jika anda tidak berdisiplin. Selamat mencuba dan selamat Hari Pekerja! – (Artikel ini disediakan bersama oleh Hairunisah Abdul Rahman, Pegawai Psikologi dan Phyladelphia Papino, Kaunselor Pelatih di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. Mereka boleh dihubungi melalui emel: hairunisah@upm.edu.my dan papino9810@gmail.com)

 

 

 

Tarikh Input: 27/04/2022 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETTAh~