Hargai Pengetahuan Tradisional: Penggunaan Tumbuhan Ubatan Masyarakat Melanau Mukah | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Hargai pengetahuan Tradisional: Penggunaan Tumbuhan Ubatan Masyarakat Melanau Mukah

Hargai pengetahuan Tradisional: Penggunaan Tumbuhan Ubatan Masyarakat Melanau Mukah

PENGAMAL: Ursula, wanita Melanau berusia 70-an antara pengamal perubatan tradisional di Kampung Kut Muara, Dalat. Beliau banyak berkongsi mengenai pengetahuan tradisional yang sering menjadi amalan untuk kesihatan dan rawatan.

MALAYSIA dianugerahkan dengan kepelbagaian sumber genetik tumbuh-tumbuhan alam semula jadi yang kaya dengan khasiat perubatannya.

Tumbuh-tumbuhan ubatan berpotensi dijadikan penawar untuk merawat pelbagai jenis penyakit dan sering digunakan dalam perawatan tradisional untuk penyakit dan kecederaan ringan.

Pengetahuan ini agak meluas diamalkan oleh masyarakat generasi terdahulu kerana kehidupan seharian mereka masih banyak bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi.

Perubatan yang menggunakan sumber alam ini lebih dikenali sebagai perubatan tradisional.

Hasil daripada tinjauan, lebih kurang 2,000 jenis atau spesies tumbuh-tumbuhan telah dikenal pasti mempunyai nilai perubatan dan berpotensi untuk dikomersilkan.

World Intellectual Property Organization (WIPO) berpendapat, pengetahuan tradisional adalah pengetahuan, kemahiran atau amalan lama yang telah digunakan oleh masyarakat peribumi atau tempatan.

Ia diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi dalam sesebuah masyarakat.

Ini seterusnya menjadi sebahagian daripada identiti budaya.

Seperti yang telah kita sedia maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada berbilang bangsa yang kaya dengan pengetahuan tradisional tersendiri yang telah diamalkan berkurun lamanya.

Ada antaranya disampaikan melalui cerita, legenda, dongeng, ritual, pantang larang dan lagu.  

Menurut World Health Organization (WHO), perubatan tradisional adalah himpunan pengetahuan, kemahiran serta amalan-amalan berdasarkan teori, kepercayaan dan pengalaman yang berasal daripada budaya yang berbeza, sama ada dijelaskan atau tidak, digunakan untuk mengekalkan kesihatan serta untuk tujuan pencegahan, pemulihan atau merawat penyakit fizikal dan mental.

Dokumentasi Pengetahuan Tradisional Melanau

Negeri Sarawak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian etnik.

Setiap kumpulan etnik mempunyai pengetahuan tradisional dalam ilmu perubatan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

 Penghulu Josli berasal dari Matu berpendapat walaupun adanya perubatan moden, beliau masih mengamalkan sesetengah petua dan amalan nenek moyang kerana yakin dengan keberkesanannya.
YAKIN: Penghulu Josli berasal dari Matu berpendapat walaupun adanya perubatan moden, beliau masih mengamalkan sesetengah petua dan amalan nenek moyang kerana yakin dengan keberkesanannya.

Etnik Melanau didapati masih mengekalkan perubatan tradisional terutamanya dalam amalan berpantang selepas bersalin dan juga masih menjadikan perubatan tradisional sebagai kaedah alternatif untuk merawat penyakit.

Secara umumnya, masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam.

Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri.

Melihat kepada kesan pembangunan yang memberi impak kepada sosiobudaya tempatan, amalan-amalan ini dikhuatiri semakin dipinggirkan.

Proses dokumentasi pengetahuan tradisi bukan suatu usaha yang mudah dan kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha tersebut.

Sebelum mengusahakan dokumentasi, satu kajian serta penyelidikan berkenaan komuniti perlu dilakukan.

Setelah memahami sosiobudaya mereka, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah meminta kebenaran dan persetujuan daripada pemilik ilmu untuk mendokumentasi maklumat yang disampaikan.

Persetujuan dan kerjasama yang baik adalah amat penting dalam memastikan proses dokumentasi berjalan dengan lancar dan jelas serta mudah difahami.

Kaedah temu bual secara tidak formal akan dijalankan untuk mengetahui khasiat tumbuhan, cara penyediaannya dan pengambilannya.

Akhir sekali, spesimen tumbuhan diambil untuk dijadikan spesimen herbarium dan seterusnya untuk pengenalpastian spesies.

Pengamal perubatan tradisional akan mendapatkan sumber tumbuhan ubatan di hutan yang tidak jauh dari kawasan kediaman, dan ada juga menanam di halaman rumah.

Sirih, serai wangi, cekur, kunyit, kaduk dan banyak lagi tanaman lain kebanyakannya boleh diperolehi sekitar halaman rumah atau kebun. Malah, ada antaranya menjadikan tumbuhan herba sebagai landskap hiasan halaman rumah.

Faktor Kemerosotan Pengetahuan Tradisional

 Spesimen tumbuhan diambil untuk dijadikan spesimen herbarium untuk rujukan dan proses pengenalpastian spesies.
KAJIAN: Spesimen tumbuhan diambil untuk dijadikan spesimen herbarium untuk rujukan dan proses pengenalpastian spesies.

Masyarakat Melanau adalah antara komuniti yang masih mengekalkan amalan perubatan tradisional sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun, komuniti ini juga kini sedang berdepan dengan kemerosotan ilmu pengetahuan tradisi atas pelbagai faktor.

Antara faktor yang menyebabkan ilmu pengetahuan itu semakin merosot ialah kerana generasi masa kini tidak lagi begitu berminat untuk mempelajarinya. Seiring dengan kemajuan pembangunan, kemudahan seperti hospital, klinik dan ubat-ubatan moden menjadikan ilmu perubatan tradisional semakin dilupakan.

Selain itu, sesetengah pengamal perubatan tradisional sendiri sukar untuk berkongsi maklumat dan amalan mereka kerana khuatir ia akan menjejaskan pendapatan mereka sebagai pengamal perubatan.

Kurang atau hampir tiada usaha untuk mendokumentasikan amalan serta pengetahuan perubatan tradisional juga merupakan faktor penyebab kepada kepupusan amalan tradisional ini.

Pembukaan kawasan hutan untuk pembangunan dan pertanian seperti perladangan kelapa sawit, industri arang batu dan juga perumahan yang semakin berkembang di Mukah juga merupakan faktor penting kepada kemerosotan amalan ubatan tradisional.

Banyak spesies berharga akan hilang sekiranya tiada usaha memelihara dan memulihara dijalankan.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk merekod dan memelihara pengetahuan mengenai tumbuhan ubatan yang berharga untuk rujukan generasi akan datang.

Penggunaan tumbuhan ubatan semakin hari semakin meningkat.

Generasi hari ini kebanyakannya tidak berpengetahuan mengenai tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang digunakan oleh generasi lama.

Tiada pemindahan ilmu kepada generasi baharu menyebabkan pengetahuan tersebut akan pupus sekiranya tiada usaha untuk memelihara sumber tumbuhan ubatan.

Usaha dan Saranan

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak merupakan satu-satunya universiti awam di Sarawak berstatus universiti penyelidikan sedang mengorak langkah secara aktif untuk mendokumentasikan dan memelihara pengetahuan berharga ini untuk rujukan generasi pada masa yang akan datang.

Kajian seperti ini perlu diambil serius kerana negeri ini mempunyai kepelbagaian etnik dan budaya.

Sebelum ini, banyak usaha telah dijalankan dalam merekod pengetahuan mengenai tumbuhan ubatan terutamanya di universiti.

Akan tetapi maklumat tersebut sukar untuk diperolehi oleh orang awam terutamanya bukan warga universiti.

Kebanyakan tesis penyelidikan berkaitan tumbuhan ubatan di perpustakaan universiti hanya terhad untuk dijadikan rujukan dalam kalangan warga universiti.

Untuk menjadikan ia boleh dirujuk oleh orang awam ataupun penyelidik luar, keputusan kajian hendaklah diterbitkan dalam makalah atau jurnal atau mana-mana terbitan bercetak seperti surat khabar, majalah, buku dan poster malah di penerbitan atas talian untuk memastikan hasil kajian mudah diperolehi untuk dijadikan sumber rujukan pada masa kini dan akan datang.

Usaha ini dapat memelihara pengetahuan tradisi secara mapan bagi memastikan ia tidak tenggelam oleh arus permodenan.

 Ajit Mut dari Oya, Mukah meminati tumbuhan herba dan menjadikan tanaman herba sebagai landskap di halaman rumahnya. Beliau juga sangat yakin dengan keberkesanannya.
MINAT: Ajit Mut dari Oya, Mukah meminati tumbuhan herba dan menjadikan tanaman herba sebagai landskap di halaman rumahnya. Beliau juga sangat yakin dengan keberkesanannya.

Malah dengan adanya dokumentasi seperti ini, ia boleh dijadikan rujukan kepada saintis untuk mengkaji dengan lebih mendalam kandungan yang terdapat dalam sesetengah tumbuhan yang telah dikenal pasti mempunyai nilai perubatan.

Kini kita telah menyaksikan bahawa, pengetahuan ilmu perubatan tradisional telah banyak menyumbang dalam perkembangan industri herba yang semakin pesat berkembang dari tahun ke tahun.

Permintaan terhadap produk berasaskan herba di peringkat global dilihat semakin bertambah.

Industri pengeluaran produk berasaskan herba juga bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimanapun, lambakan produk herba di pasaran tempatan, khususnya produk yang tidak bersandarkan penyelidikan serta dicemari dengan  penekanan.

Fokus juga perlu diberi untuk menghasilkan produk berasaskan herba yang berkualiti tinggi, berkesan dan selamat.

Dengan adanya kelebihan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian sumber genetik, semua pengetahuan dan sumber tumbuhan ubatan ini harus dipulihara dan dimanfaatkan.

Info Daripada : Pn. Zahora Ismail
Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Ekosistem Sains Borneo (BORNEO EKOSAINS), UPMKB

Tarikh Input: 10/01/2019 | Kemaskini: 10/01/2019 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdIA3~